Skip to main content
Berita TempatanSabah

Influenza Bukan Selsema Biasa, Jangan Pandang Ringan

By 7 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Nuzuluddin Abdul Razak (Penampang)

PENAMPANG, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Orang ramai disaran tidak memandang ringan penyakit influenza kerana ia bukan sekadar selesema biasa, sebaliknya jangkitan salur pernafasan akut yang boleh membawa komplikasi serius, terutama dalam kalangan golongan berisiko tinggi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Cawangan Kesiapsiagaan, Survelan dan Respon, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Shiehafiel Fieqri Hussin berkata virus influenza A atau B berbeza dengan selesema biasa yang hanya berpunca daripada virus ringan seperti rhinovirus.

Dr. Shiehafiel Fieqri dalam program FYI@JAPEN di Studio Media, Jabatan Penerangan Sabah, Penampang.

“Influenza merupakan penyakit jangkitan salur pernafasan akut yang disebabkan oleh virus influenza A ataupun B. Ia bukanlah selesema biasa.

“Pesakit influenza biasanya mengalami demam tinggi secara mengejut, sakit otot, batuk, sakit kepala dan keletihan badan, manakala selesema biasa hanya menyebabkan hidung berair, bersin dan jarang disertai demam,” katanya dalam temu bual dalam program FYI@JAPEN, di sini pada Khamis.

Menurut Dr. Shiehafiel Fieqri, antara tanda utama influenza yang perlu diberi perhatian termasuk demam tinggi, sakit otot dan sendi, batuk, sakit tekak, keletihan melampau serta hidung berair atau tersumbat.

“Kebanyakan pesakit boleh sembuh dalam tempoh seminggu tanpa rawatan khas, namun individu daripada golongan berisiko tinggi lebih mudah mengalami komplikasi serius sekiranya dijangkiti.

“Golongan ini termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, kanak-kanak bawah lima tahun, ibu mengandung, penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis serta individu yang mempunyai sistem imunisasi lemah seperti pesakit kanser dan Human Immunodeficiency Virus (HIV),” ujarnya.

Jelasnya lagi, komplikasi akibat influenza boleh menyebabkan keradangan paru-paru (pneumonia), sepsis, serangan jantung dan dalam kes tertentu boleh membawa maut.

Dr. Shiehafiel Fieqri (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Puan Siti Mariam Aziz Rashid diiringi Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Nuzuluddin Abdul Razak.

Justeru, beberapa langkah pencegahan perlu dilaksanakan oleh pesakit berdasarkan saranan pihak kesihatan termasuk pengambilan vaksin mengikut prosedur perubatan yang selamat.

“Mereka yang dijangkiti disarankan berehat di rumah, mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul, memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak dan memastikan tubuh cukup hidrasi. Pesakit berisiko tinggi pula disaran mendapatkan rawatan antivirus seperti oseltamivir di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Vaksin influenza adalah selamat digunakan dan disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia bukan sahaja mencegah jangkitan, tetapi juga mengurangkan tahap keseriusan penyakit sekiranya dijangkiti.

“Selain vaksin, masyarakat disarankan sentiasa mengamalkan kebersihan diri, mencuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman, memakai pelitup muka jika bergejala dan mengelakkan tempat tumpuan ramai bagi melindungi diri daripada jangkitan influenza,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda