Skip to main content
Berita TempatanSabah

JHEWA Perkukuh Kesedaran Masyarakat Tentang Isu Perkahwinan Bawah Umur

By 7 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Johny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak wajar diperluaskan bagi mencapai kesan yang optimum terhadap tanggungjawab dan kesedaran masyarakat dalam hal berkaitan.

Menyahut seruan ini, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) komited untuk melaksanakan program berkenaan dalam usaha memberi kefahaman tentang kesan sosial serta kepentingan pendidikan kepada generasi muda mengenai isu perkahwinan bawah umur.

Hanita (tengah) dan Nurtitahayati (kiri) bergambar kenangan bersama selepas program.

Setiausaha Persatuan Tindakan Islam Wanita Sabah (PERTIWISA) Hanita Jamaludin berkata masyarakat perlu diberi peluang untuk berinteraksi dan bertukar pandangan terutama dalam soal akta dan undang-undang berkaitan.

“Saya berpendapat program ini memberi banyak ilmu baharu mengenai akta dan peraturan berkaitan perkahwinan bawah umur. Melalui ceramah dan perkongsian, kami dapat memahami dengan lebih jelas usia minimum perkahwinan serta sebab mengapa kanak-kanak tidak sesuai berkahwin awal.

“Program ini juga memberi motivasi kepada wanita untuk memperbaiki diri dan menjalani kehidupan yang lebih sihat,” katanya ketika ditemui semasa Penganjuran Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak di Wisma Wanita, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Nadi Wanita Sabah, Nurtitahayati Norman menyifatkan program sedemikian berupaya menjadi patform memperkukuh jaringan antara wanita dalam memperjuangkan hak dan masa depan anak-anak.

“Program seperti ini bukan sahaja menambah ilmu tetapi juga mengeratkan hubungan sesama wanita dan saya berharap supaya wanita dan bakal ibu sama-sama berjuang meningkatkan atau memberi kesedaran kepada anak-anak serta masyarakat untuk ambil peduli dengan isu ini,” ujarnya.

Mariah ketika ditemui selepas menyertai program tersebut.

Selain itu, pesara kakitangan kerajaan, Mariah Dollah, 66, berkata program tersebut menerangkan dengan jelas berhubung undang-undang dan prosedur berkaitan perkahwinan awal yang wajar dikongsikan untuk pengetahuan umum.

“Program ini sangat bermanfaat dan membuka minda kami tentang pentingnya kesedaran serta peranan ibu bapa dalam mencegah perkahwinan kanak-kanak itu membuka ruang untuk kami belajar dan berkongsi maklumat tentang hak kanak-kanak serta tanggungjawab sebagai ibu bapa,” katanya.

Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak anjuran JHEWA Sabah itu menghimpunkan kira-kira 350 peserta terdiri daripada wakil pertubuhan wanita, suri rumah, pendidik dan ahli komuniti setempat.

Antara pengisian termasuklah sesi ceramah dan perkongsian, pendedahan kepada aspek undang-undang berkaitan umur minimum perkahwinan, kesan psikologi terhadap kanak-kanak serta langkah pencegahan bagi membendung isu perkahwinan awal di Sabah.

-RI

Tinggalkan komen anda