Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

AKPS Tahan 26 Rakyat Malaysia Cuba Keluar Negara Tanpa Pasport

By 14 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menahan 26 warganegara Malaysia yang dikesan keluar dari negara melalui laluan motosikal tanpa mengemukakan pasport, 16 Oktober lalu.

Menurut AKPS, siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan melakukan perbuatan pembolosan di laluan berkenaan dan telah melanggar Seksyen 2(2), Akta Pasport 1960, iaitu meninggalkan Malaysia tanpa mengemukakan pasport kepada Pegawai Imigresen bertugas.

Berikutan penahanan tersebut, seramai 13 individu telah dihadapkan ke Mahkamah PATI Pekan Nenas, Pontian semalam dan masing-masing dikenakan denda RM1,500.

“Tiga lagi yang merupakan pembonceng dibebaskan dengan amaran bertulis selepas mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya,“ menurut kenyataan AKPS, hari ini.

Dalam satu tindakan berasingan, 10 lagi individu turut disabitkan kesalahan sama dan masing-masing didenda RM1,000 pada 6 November lalu.

AKPS menasihatkan orang ramai yang menggunakan pintu masuk BSI, khususnya di laluan motosikal agar sentiasa mematuhi arahan melapor kepada pegawai bertugas sama ada secara manual atau melalui aplikasi yang disediakan setiap kali masuk atau keluar negara.

“Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil, selain berisiko menjejaskan pekerjaan kerana pasport akan ditahan sepanjang tempoh siasatan dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda