Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pelajar Tingkatan Enam Serlah Reka Corak Luar Biasa

By 20 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad

KUALA TERENGGANU, 20 Nov (MalaysiaAktif) – Peserta Pertandingan Rekacorak Tradisional dan Kontemporari Tingkatan Enam Rendah 2025 berjaya mempamerkan kreativiti luar biasa dalam acara yang julung kali dianjurkan, di Dewan Azzahra, Istana Sharqiyyah.

Sebanyak 11 sekolah dari lima daerah di negeri ini menyertai pertandingan yang menampilkan rekaan unik gabungan warisan tradisional dengan idea moden yang segar dan kreatif.

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah hadir menyerikan majlis.

Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIDAM Property Sdn. Bhd. Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, pertandingan ini membuktikan bahawa seni warisan Terengganu mampu terus berkembang melalui kreativiti generasi muda.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha memupuk kecintaan terhadap seni dan identiti negeri ini,” katanya, di sini semalam.

Program anjuran Yayasan Tuanku Nur Zahirah dengan kerjasama Maidam Property Sdn. Bhd.,  membuka ruang baharu dalam memartabatkan seni visual beridentitikan warisan negeri.

Pertandingan berprestij ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama, membawa pulang RM3,000 berserta sijil penghargaan manakala SMK Intan Zaharah, Dungun turut menerima Pilihan Penaung (Queen’s Choice Award) dengan hadiah RM1,000.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, Muhammad Arif Aiman Mohd Hamdan, pula merangkul Pilihan Pengerusi (The Princess Royal’s Choice Award) berserta hadiah RM1,000.

Pertandingan ini adalah antara komitmen berterusan Yayasan Tuanku Nur Zahirah dalam memastikan seni reka corak tradisional terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda