Skip to main content
Berita TempatanSabah

Terapi Gen, Rawatan Lebih Praktikal Buat Pesakit Talasemia

By 20 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Mohd Akmal Ibrahim (Penampang)

PENAMPANG, 20 Nov (MalaysiAktif) – Menjalani hidup sebagai pesakit Beta Talasemia Major bukanlah sesuatu yang mudah, namun bagi Jairah Marcus, setiap cabaran yang dihadapi mengajar beliau erti syukur, kekuatan dan ketentuan Tuhan.

Membesar sebagai anak bongsu dari tiga beradik, Jariah, 30, cekal menjalani setiap keperluan perubatan dan rawatan rutin yang terpaksa dilaluinya sejak disahkan menghidapi penyakit tersebut pada usia satu tahun.

Selepas puluhan tahun bergantung pada transfusi darah, terapi gen membuka lembaran baharu dalam hidup Jairah. Bukan sekadar rawatan, tetapi cahaya harapan

Selepas bertahun-tahun bergantung kepada transfusi darah, beliau akhirnya diperkenalkan oleh Konsultan Hematologi Hospital Queen Elizabeth I, untuk menjalani rawatan terapi gen di The First Affiliated Hospital of Guangxi Medical University, Nanning, China.

Rawatan ini menjadi titik perubahan besar dalam tahap kesihatannya sebagai pesakit Talasemia.

“Pengalaman menjalani terapi gen ini satu rawatan terkini yang sebenarnya membawa harapan besar kepada pesakit Talasemia. Apa yang berlaku dalam hidup saya ada sebabnya, termasuklah perjalanan saya menjalani rawatan ini. Saya sendiri pun tidak sangka ia akan menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Apabila saya sendiri menjalani rawatan ini, perubahan yang saya alami sangat luar biasa. Antaranya, saya tidak lagi perlu menjalani transfusi darah, dan kali terakhir saya menerima transfusi ialah pada Januari 2025. Saya benar-benar berharap agar rawatan terapi gen ini dapat diperluaskan kepada pesakit Talasemia lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung dalam program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah di sini, pada Selasa.

Jairah ditemani ibunya ketika menjalani rawatan terapi gen di China.

Dalam pada itu, sebagai penghidap penyakit kritikal, beliau mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat yang mengalami nasib yang sama agar teruskan perjuangan, kuatkan emosi dan semangat demi kebaikan bersama.

“Daripada menyalahkan diri kerana sakit, saya belajar melihat cabaran ini sebagai peluang dan mahu memberi makna kepada diri serta berkongsi kekuatan ini kepada orang lain. Kita juga mesti menjaga dan penuhkan diri kita terlebih dahulu, apabila sudah stabil dan kuat barulah mampu untuk membantu orang lain.

“Bersyukur itu penting, walaupun ada sakit yang tidak kelihatan di mata orang tetapi saya bersyukur kerana diberi peluang melakukan banyak perkara yang orang mungkin tidak jangka, saya harap dengan perkongsian saya ini mampu memberi semangat kepada pesakit dan berani untuk berkongsi kisah mereka,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda