
Laporan/Foto : Regina Lasia (Sarawak)
LONG LAMA, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Sekolah luar bandar memerlukan kemudahan mencukupi bagi menjamin pembelajaran berkualiti dan perkata itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato’ Sri Wong Soon Koh.
Beliau berkata Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee misalnya memerlukan penglibatan Lembaga Pengurusan sekolah untuk terus berusaha mendapatkan sumber baharu, memastikan penyelenggaraan berterusan, menaik taraf infrastruktur serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.

Ahlis Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato’ Sri Wong Soon Koh menyampaikan ucapan perasmian pada sambutan ulang tahun SJK(C) Kee Tee.
“Penglibatan ibu bapa juga adalaha ‘nadi’ kekuatan SJKC, manakala budaya ‘satu kampung menjaga sekolah’ perlu terus diperkukuh untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak,” katanya ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-78 SJK(C) Kee Tee, di sini semalam.
Sambutan yang berlangsung meriah itu menyaksikan kehadiran warga Long Lama dan komuniti sekitar, menzahirkan sokongan teguh masyarakat terhadap kemajuan pendidikan di pedalaman.
Wong dalam pada itu meluahkan rasa gembira melihat perkembangan pesat SJK(C) Kee Tee yang terus relevan meskipun beroperasi dalam komuniti majoriti pribumi.

Dari kiri: Penghulu Desmond Yap Cheing Siang; Pengerusi Pengelola SJK(C) Kee Tee Long Lama; Wong Soon Koh, ADUN Bawang Assan; Dato Dennis Ngau, ADUN Telang Usan; David Yeo Ang Lim; dan Ezra Uda, Pegawai Daerah Telang Usan.
“Saya masih ingat ketika menjadi tetamu kehormat pada ulang tahun ke-55, dan hari ini kita meraikan ulang tahun ke-78 dengan rasa bangga serta penuh kenangan.
“SJK(C) Kee Tee berjaya bertahan kerana asas pendidikannya kukuh, sokongan padu masyarakat majmuk yang memberi kepercayaan kepada sekolah,” katanya.
Majlis turut menyaksikan perasmian kemudahan lampu diod pemancar cahaya (LED) baharu yang melambangkan kemajuan sekolah ke arah suasana pembelajaran lebih moden dan selesa selain pengumuman peruntukan RM5,000 sebagai sokongan pembangunan sekolah.
-RJ-






