
Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)
PARIT BUNTAR, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Parit Buntar menjadi platform komuniti dalam menyatukan dua generasi melalui Program Jalinan Kasih@PAWE Parit Buntar, Citra Minda Intergenerasi (CMI) 2025.

Che Murad ketika berucap.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata program itu berkonsepkan intergenerasi melibatkan golongan warga emas dan belia.
“Program ini merupakan inisiatif kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mengurangkan jurang antara generasi.
“Saya menyeru golongan belia di Parit Buntar untuk menjadi ‘cucu angkat’ kepada PAWE dalam menyantuni warga emas di sini terutamanya dalam penggunaan teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini kelmarin.

Aktiviti memasak cucur jagung antara pengisian program.
Dengan penubuhan PAWE Parit Buntar, Kerian kini mempunyai dua buah pusat PAWE yang boleh disertai warga emas di sekitarnya.
“Gunalah setiap ruang dan aktiviti yang disediakan di sini. Jangan duduk sunyi di rumah, datanglah ke PAWE untuk berkawan, bersenam dan berkongsi ilmu,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Kerian Rabizah Hasni Muhamad dan Pengerusi PAWE Parit Buntar Mohd Radzi Mohd Ramli.
-RI





