Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

MTL Bawa Limpahan Rezeki Buat Nelayan Sungai, Peniaga Ikan Kampung Gemuruh

By 27 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amiruddin Adli/Zaharudin Ismail (Terengganu)

KUALA NERUS, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Monsun Timur Laut (MTL) bukan sahaja membawa taburan hujan berpanjangan, bahkan membuka pintu rezeki buat para nelayan sungai dan peniaga ikan air tawar di Kampung Gemuruh Sungai Ikan, yang saban tahun menantikan kemunculan spesies ikan sungai ketika paras air meningkat.

Antara spesies ikan sungai seperti lampam, sebarau dan terbul yang menjadi pilihan pelanggan ketika musim tengkujuh.

Sejak air mulai melimpah dari sungai berhampiran, kawasan sekitar kampung itu kembali meriah dengan aktiviti oleh para nelayan sungai yang sibuk memasang jaring setiap petang.

Hasilnya, pelbagai spesies ikan seperti baung, belida, tapah, sebarau, lampam, terbul dan keli mudah ditemui apabila ikan-ikan ini bergerak ke kawasan cetek.

Bagi peniaga ikan air tawar, Kamariah Daud, 63, musim tengkujuh adalah ‘musim emas’ yang dinantikan saban tahun kerana bekalan ikan segar meningkat berkali ganda.

“Bila musim monsun, nelayan sungai di kawasan Gemuruh akan hantar ikan segar setiap pagi. Saya jual semuanya di tepi jalan Kampung Gemuruh Sungai Ikan. Pelanggan memang suka sebab ikan baru ditarik dari jaring,” katanya ketika kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Pelanggan tetap hadir membeli ikan segar meskipun dalam cuaca hujan, menjadikan musim monsun sebagai waktu rezeki berganda buat peniaga setempat.

Menurut Kamariah, nelayan tempatan akan memasang jaring pada waktu petang dan mengangkatnya pada awal pagi sebelum membawa hasil tangkapan kepadanya untuk dijual.

“Antara yang paling laris ialah baung, keli dan belida yang terkenal dengan rasa segar serta teksturnya yang menjadi kegemaran pelanggan setia,” katanya.

Walaupun musim tengkujuh sering dianggap mencabar bagi banyak pihak, bagi peniaga kecil seperti Kamariah ia menjadi ruang rezeki yang tidak pernah mengecewakan.

Setiap tahun, limpahan air sungai membawa peluang pendapatan tambahan sekali gus mengekalkan tradisi pencarian rezeki komuniti nelayan darat di kampung tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda