
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Dengan berbaki dua hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, para pengundi mula bergerak pulang ke kampung, termasuk mereka yang menetap di Kota Kinabalu dan kembali ke kawasan pantai timur negeri itu.

Diangaon menunggu di ruangan menunggu di KKIA sebelum menaiki penerbangan domestik daripada Kota Kinabalu ke Tawau sebelum menyambung perjalanan ke Semporna menggunakan jalan darat.
Selain menaiki bas awam, para pengundi yang menuju ke daerah seperti Tawau dan Semporna turut memilih perkhidmatan kapal terbang untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.
Salah seorang penggundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Semporna, Diangaon Sugalmani, 67, berkata walaupun menetap jauh di Kota Kinabalu, tanggungjawab mengundi mesti ditunaikan di samping mengambil kesempatan menziarahi keluarganya di kampung.
“Saya memang asal Semporna, kali ini akan balik mengundi di kampung. Balik ini sebab memang tanggungjawab kita sebagai rakyat Sabah di mana kepentingan undi kita menentukan masa depan di Sabah.
“Mengundi ini lima tahun sekali. Selain kita turun mengundi masa inilah juga kita manfaatkan untuk menziarahi ahli keluarga di kampung yang lama sudah kita tidak jumpa,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Khamis.

Santi (pertama dari kanan) bersama besannya Sharifah Rugaya duduk di ruangan menunggu bagi penerbangan ke Tawau untuk pulang mengundi.
Sementara itu, pengundi DUN Apas, Tawau, Santi Patu, 59, berkata selain kapal terbang, pengundi juga boleh menggunakan perkhidmatan bas awam, namun perjalanan ke Tawau mengambil masa lebih lama, iaitu sekitar 10 jam.
“Mengundi ini kewajipan sebagai anak Sabah, ini penting untuk menentukan siapakah pemimpin kita jadi kita perlu pulang. Sekarang ini banyak cara boleh digunakan untuk balik mengundi, naik bas boleh, memandu sendiri boleh, tetapi lebih lama berbanding kapal terbang.
“Kalau ada kenderaan sendiri lebih mudah, tapi mereka yang jauh di perantauan mungkin agak sukar balik sebab kos agak tinggi ditambah bagi yang berkeluarga, mesti menyimpan untuk pulang mengundi,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November ini sebagai hari mengundi biasa PRN Sabah yang melibatkan lebih 1.7 juta pengundi termasuk kira-kira 662,000 pengundi baharu berdasarkan daftar pemilih setakat Ogos lepas.
PRN Sabah kali ini menyaksikan seramai 596 calon bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN Sabah termasuk 74 calon bertanding atas tiket bebas.
-RJ-





