Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pengguna Selesa Guna Aplikasi Dalam Talian Beli RON95

By 28 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Mohamad Syafiq Mohamad Saleh (Hulu Langat)

BANGI, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Kebanyakan pengguna kini dilihat lebih selesa menggunakan aplikasi Setel bagi pembelian petrol RON95 susulan pelaksanaan penyasaran subsidi yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan kad pengenalan.

Staf Petronas membantu pelanggan melakukan proses pembayaran di pam petrol.

Tinjauan Malaysia Aktif di sebuah stesen minyak Petronas di Semenyih, di sini semalam mendapati penggunaan aplikasi itu bukan sahaja mempercepatkan transaksi, malah mengelakkan pengguna daripada perlu mengeluarkan MyKad setiap kali mengisi minyak.

Melalui Setel, pengesahan identiti (e-KYC) hanya dilakukan sekali sebelum pengguna boleh mengaktifkan pam dan membuat pembayaran terus melalui telefon tanpa sebarang imbasan MyKad atau urusan di kaunter.

Kaedah itu menjadi pilihan ramai selepas kebimbangan awal timbul mengenai kemungkinan proses pembelian menjadi lebih lambat serta risiko kad tercicir atau cip MyKad rosak akibat kekerapan penggunaan.

Seorang peniaga, Ahmad Iqbal, 58, mengakui kegusaran awalnya mengenai kelewatan proses pembelian selepas kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi RON95 sebelum ini ternyata tidak berlaku.

salah seorang pelanggan yang masih menggunakan pembayaran secara manual.

“Tetapi dengan aplikasi Setel yang saya gunakan sejak setahun lalu, tiada apa-apa perubahan dalam proses pembayaran,” katanya.

Pandangan sama dikongsi pembeli Abu Ubaidah Hashim, 50, yang beralih kepada aplikasi dalam talian bagi mengelakkan keperluan mengeluarkan kad pengenalan setiap kali mengisi minyak.

Namun, tidak semua pengguna beralih kepada kaedah digital. Seorang peniaga, Richard Lim, 60, berkata beliau masih memerlukan bantuan kerana kurang mahir menggunakan aplikasi dan lebih selesa membeli secara manual atau dibantu staf stesen minyak.

Walaupun syarat pengesahan MyKad menimbulkan kebimbangan awal, pemerhatian menunjukkan majoriti pengguna kini lebih memilih aplikasi Setel kerana prosesnya lebih pantas dan efisien.

-RI

Tinggalkan komen anda