
Laporan/foto: Azree Zaki
RAUB, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Raub dinaiki air, menyebabkan seramai 318 orang mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 9 pagi tadi.

Fadzli turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Pusat Kegiatan KEMAS Gali
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Raub Kapten (PA) Samasudin Kambade, sebanyak lapan PPS dibuka setakat ini iaitu Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gali, Dewan Serbaguna Kampung Pia, Balai Raya Kampung Sengkela, Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Sekolah Kebangsaan Tersang, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam, Balai Raya Kampung Ria, Sekolah Kebangsaan Kundang Patah dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Raja.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Raub menyediakan maklumat semasa mangsa banjir di PPS terlibat.
“Kesemua mangsa yang telah dipindahkan berada dalam keadaan baik dan selamat serta tiada kes kematian berlaku,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Beliau berkata orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap maklumat terkini, mengelakkan kawasan berisiko banjir dan mematuhi arahan agensi penyelamat demi keselamatan.
-RI





