
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/UiTM Pasir Gudang (Johor)
JOHOR BAHRU, 3 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 27 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang berjaya mengangkat nama institusi dan negara apabila menyertai Youthpreneurship Bootcamp Festival (YBF) Indonesia–Malaysia 2025 di Batam, Indonesia.

YBF 2025 bertujuan memperkasa pelajar UiTM melalui pendedahan global dalam inovasi dan keusahawanan serta mengukuhkan kerjasama strategik belia Malaysia–Indonesia..
Program yang berlangsung pada 27 November hingga 1 Disember lepas itu menghimpunkan mahasiswa, usahawan muda, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta wakil industri dalam usaha memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan serantau.
Ketua delegasi pelajar Muhammad Fitri Haikal Mohd Zin, 20, berkata penyertaan mereka membawa makna penting kepada pembangunan modal insan UiTM, khususnya dalam bidang inovasi dan keusahawanan.
“Ini merupakan program mobiliti kali pertama kelab kami di mana kami berpeluang pergi keluar negara. Kami amat teruja dan berterima kasih kepada semua warga yang menyokong program ini.

Kumpulan Resitku meraih Anugerah Champion Terbaik Inovasi Pemula dalam Pertandingan Inovasi Produk YBF 2025.
“Justeru kami hadir bukan sekadar untuk bertanding, namun kami ingin belajar ilmu keusahawanan, rentas budaya, berkongsi ilmu dalam aktiviti kesukarelawanan, memperluas jaringan keusahawanan, dan seterusnya mencipta impak,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
UiTM Pasir Gudang mencatat kejayaan membanggakan apabila kumpulan Resitku meraih Anugerah Champion Terbaik Inovasi Pemula, mengukuhkan kedudukan mahasiswa UiTM sebagai pencetus idea inovatif di pentas antarabangsa.
Dalam Pertandingan Inovasi Produk YBF 2025 yang menghimpunkan hampir 50 penyertaan merentas kategori makanan dan minuman, pendidikan, teknologi dan kelestarian pula, pasukan Zulaikha Coklat Minuman Sunnah berjaya tersenarai sebagai Top 5 Finalis Inovasi Terbaik.
-RI





