
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/AKPS Johor (Johor)
JOHOR BAHRU, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjaya menggagalkan cubaan seorang pegawai melakukan aktiviti ‘pasport terbang’ (flying passport) dalam satu operasi pemantauan, di sini semalam.

AKPS Bangunan Sultan Iskandar berjaya menggagalkan cubaan seorang pegawai melakukan ‘aktiviti pasport’ terbang.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku ketika Unit Integriti AKPS BSI memeriksa pegawai bertugas di kaunter MyBorderPass dan mendapati beliau gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil. 01/2024 selepas didapati membawa dua telefon bimbit ketika bertugas tanpa membuat serah simpan kepada penyelia.
“Siasatan lanjut menemukan enam pasport warga asing dari Republik Rakyat China, satu Indonesia dan satu Vietnam yang disorok dalam sebuah beg hitam di ruang simpanan motosikal Honda Vario milik pegawai berkenaan di kawasan BSI.

Turut disita sebuah motosikal dan dua buah telefon bimbit milik pegawai tersebut yang gagal membuat serah simpan kepada penyelia ketika bertugas.
“Pegawai berumur 32 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki tanpa kuasa sah pasport milik individu lain,” menurut kenyataan itu.
Turut disita ialah sebuah motosikal, lapan pasport serta dua telefon bimbit milik pegawai tersebut.
Kenyataan itu juga memaklumkan AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar arahan integriti dan akan terus melaksanakan tindakan tegas bagi memperkukuh keselamatan pintu masuk negara.
-RI





