
Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)/KPDN Pahang
PEKAN, 9 Dis (MalaysiaAktif) – Program Pasar PATUH (3P) menggalakkan peniaga pasar awam untuk mematuhi piawaian dengan penandaan harga yang tepat, penggunaan alat timbang yang sah di samping memastikan persekitaran pasar yang kemas, selamat dan teratur.

Jezlily (kiri) bersama peniaga di Pasar Besar Pekan.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin, matlamat program ini adalah untuk menanam kesedaran dalam kalangan peniaga mengenai kepentingan mematuhi undang-undang perdagangan, merangsang persaingan sihat dan memastikan perlindungan optimum.
“Program ini dimulakan secara perintis di Pasar Besar Pekan dan dijangka diperluaskan ke pasar-pasar lain di negeri ini secara beperingkat,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Jezlily turut mendengar pandangan peniaga pasar.
Tambahnya lagi pelaksanaan Program Pasar PATUH turut melibatkan kerjasama rakan strategik utama antaranya Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang.
“Pendekatan yang digunakan melalui program ini seiring dengan usaha kerajaan untuk membina sistem perdagangan yang adil, telus dan berdaya saing,” katanya.
-RI





