
Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)/Pusat Komuniti MADANI Parlimen IM
KUANTAN, 9 Dis (MalaysiaAktif) – Pasukan IM All Star Cherating muncul juara Pertandingan NADI e-Sukan MADANI yang berlangsung di Putrajaya, Ahad lepas.

Penyokong bersorak atas kemenangan IM All Star Cherating.
Pengurus pasukan Baharin Shariff berkata kemenangan ini sekali gus menyuntik semangat kepada ahli pasukannya untuk terus mengukir kemenangan selepas ini.
“Kemenangan ini juga membuktikan negeri Pahang mampu melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang e-sukan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Beliau berkata IM All Star telah menghantar sebanyak lima pasukan ke pertandingan ini termasuk DAF IM All Star, IM All Star Balok, IM All Star Cenderawasih dan IM All Star Semambu.

Baharin (duduk kanan) bersama anggota IM All Star yang lain memberi sokongan padu.
“Usaha yang bersungguh-sungguh telah membuahkan hasil dan kita percaya kita mampu menang lagi di pertandingan akan datang,” katanya.
Sebanyak 32 pasukan belia berusia bawah 35 tahun dari seluruh negara menyertai pertandingan tersebut dan IM All Star Cherating membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala kejohanan atas kejayaan berkenaan.
Hadiah wang tunai dan piala kejohanan telah disampaikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
-RI





