Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Jelajah Barakah Zakat MAINJ Santuni Asnaf di Tanjung Sedili

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Al-Tarmizi Azmi/Mohd Zulkifli Alias (Kota Tinggi)

JOHOR BAHRU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Jelajah Barakah Zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kota Tinggi 2025 meneruskan siri penganjurannya dengan pelbagai pengisian berteraskan kebajikan, komuniti dan riadah bagi menyantuni golongan asnaf di Tanjung Sedili.

Aktiviti river cruise di Tanjung Sedili membawa para peserta menyusuri keindahan Sungai Sedili Besar, menikmati panorama alam semula jadi dan ketenangan perairan yang mempesonakan.

Program tersebut bertujuan menyalurkan bantuan keperluan asas, memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat serta membuka peluang kepada asnaf menikmati aktiviti sosial dalam suasana inklusif.

Dalam pada itu, Ahli MAINJ Md Buranuddin Tibek berkata ketua kampung telah dilantik dan dilatih sebagai amil zakat mulai tahun ini bagi memantapkan ekosistem pengurusan zakat di peringkat komuniti.

“Usaha ini membolehkan hampir 100 peratus penerima zakat layak dikenal pasti, selain memastikan agihan zakat sampai kepada golongan sebenar.

“Zakat ini Majlis Agama hanya mengelola, ia adalah hak umat Islam di Johor. Mereka yang bekerja di negeri ini wajib menunaikan zakat di Johor,” katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Serbaguna Tanjung Sedili, di sini semalam.

Sebahagian penerima bantuan turut diziarahi melalui Konvoi Amal Ziarah Kasih yang merentasi daerah, membawa bantuan serta menyampaikan harapan kepada asnaf yang memerlukan.

Salah seorang penerima, Mahadi Omar, 47, meluahkan kesyukuran menerima bantuan barangan dapur bernilai RM300.

“Saya juga dapat menikmati pelbagai kemudahan percuma yang disediakan, sekali gus meringankan beban dan memberi manfaat besar kepada asnaf,” katanya.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, perkhidmatan tukar minyak hitam dan gunting rambut percuma, Jualan Rahmah, pameran agensi, program belanja barang dapur asnaf, Ziarah Kasih Asnaf melalui konvoi amal serta aktiviti menyusuri Sungai Sedili Besar.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili Muszaide Makmor, Ahli MAINJ Datuk Dr Aman Rabu dan Ketua Kampung Tanjung Sedili Ali Bathur Ahmad Ramli.

-RI

Tinggalkan komen anda