
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang
JOHOR BAHRU, 13 Dis (MalaysiaAktif) – Tiada sebarang bacaan berbahaya dikesan dalam kualiti udara yang direkodkan selepas bahan kimia tertumpah di sekitar 300 meter di Jalan Terumtum 3, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini.

Pasukan HAZMAT menjalankan pemeriksaan dan penilaian di lokasi kejadian bagi memastikan tahap kualiti udara dan alam sekitar berada dalam keadaan baik dan tidak menjejaskan kawasan setempat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Kanan l Iszahwati Supardi berkata pemeriksaan dan penilaian telah dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan mendapati kandungan bahan berbahaya yang ditemui terlalu rendah dan daripada jenis acetic acid dan ethyl formate.
“Pasukan HAZMAT membuat penilaian sektor 2, sektor 3 dan Sektor 5 pada jam 2.20 petang mendapati hanya satu sektor sahaja mempunyai bacaan bahan melebihi tahap normal.
“Unit dron zon 3 juga digunakan di lokasi kejadian untuk menilai jumlah tumpahan bahan kimia berkenaan dan telah menganggarkan tumpahan yang berlaku sebanyak 3,000 liter,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Cecair bahan kimia yang tumpah dianggarkan sebanyak 3,000 liter di Jalan Terumtum 3, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, semalam.
Beliau juga menjelaskan satu pasukan turut digerakkan ke lokasi Delima 21 bagi menilai aliran bahan serta potensi penghasilan wap dan didapati tiada wap berbahaya dikesan di lokasi kejadian.
Hasil mesyuarat pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Johor Corporation (Jcorp) diputuskan dan akan diserahkan kepada pihak JAS dan Jcorp untuk kerja-kerja pembersihan.
-RI





