
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin(Labuan)
LABUAN, 13 Dis (MalaysiaAktif) – Masyarakat hari ini terutamanya para usahawan muda diseru untuk melakukan inovasi bagi mengembangkan makanan tradisi Borneo di dalam pasaran tempatan.

Maureen (kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang peserta dari negara Brunei.
Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan Khairul Amin Abd. Rashid, makanan tradisional itu tidak seharusnya hanya muncul semasa festival atau majlis keramaian sahaja tetapi diperluas dengan mengekalkan resipi asalnya.
“Makanan tradisi Borneo boleh dijenamakan bagi mencipta identiti yang kuat dan moden, dibuat pembungkusan yang menarik dengan menggunakan teknologi pembungkusan terkini agar tahan lama dan mesra pengguna selain dipasarkan secara global bagi membawa cita rasa Borneo ke pentas dunia.
“Inovasi ini akan membuka peluang ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan yang paling penting, menjadikan warisan kita sentiasa relevan,” katanya semasa merasmikan Festival Makanan Dan Budaya Tradisional Borneo Tahun 2026, di sini semalam.

Antara peserta dari dalam dan luar Labuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Inspirasi Wanita (LaNita) atas cubaan usaha dalam menganjurkan program yang berteruskan warisan dan budaya itu.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) secara amnya dan Pejabat MOTAC Labuan secara khususnya sentiasa menyokong pembangunan sosio-ekonomi bersama pemain-pemain industri yang ingin melihat sektor pelancongan berkembang,” katanya.
Tambahnya, mulai tahun depan MOTAC Labuan akan menyaring setiap program yang dikemukakan bagi memastikan peruntukkan yang diterima daripada MOTAC dapat digunakan untuk menghasilkan program yang berkualiti seterusnya memberi kesan positif kepada ekonomi setempat.
Hadir sama Pengerusi LaNita Maureen Tidal.
-RI





