
Laporan/foto: Jaimis Kunjan (Tambunan)
TAMBUNAN, 13 Dis (MalaysiaAktif) – Kempen Pendaftaran Awal Mangsa Bencana melalui sistem myIBJKM mula dilaksanakan untuk memudahkan penduduk mendaftar secara dalam talian dengan cepat dan efisien.
Inisiatif ini juga membolehkan orang ramai mendaftar diri dan ahli keluarga melalui aplikasi mudah alih, dengan data dihantar terus kepada pihak pengurusan bencana untuk penyaluran bantuan yang lebih sistematik dan tepat.
Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil berkata, kempen berkenaan perlu diperluasakan kepada seluruh komuniti sebagai langkah mempercepatkan bantuan ketika bencana.

Suasana sesi Taklimat Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara melibatkan pegawai daerah dan wakil agensi kerajaan mengenai pendaftaran awal mangsa bencana dan penyaluran bantuan sistematik.
“Penggunaan platform digital amat penting dalam mempercepatkan tindakan bantuan ketika berlaku kecemasan. Pendaftaran awal ini perlu diwar-warkan kepada semua supaya masyarakat dapat membuat pendaftaran dalam talian lebih awal.
“Ini akan membantu pihak kami menyalurkan bantuan dengan lebih cepat dan teratur kepada mangsa bencana,” katanya dalam majlis Taklimat Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara di sini pada Rabu.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat dalam usaha pengurusan bencana di daerah Tambunan.
-RJ-





