
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Dexter Cysonned/Norazuwan Mohd Yussof (Penampang)
PENAMPANG, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Menggenggam ijazah dalam bidang Kimia Industri dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ikhwan Baginda atau lebih dikenali sebagai Baginda Busker memilih jalanan sebagai pentas untuk berkarya.
Sementara berusaha mendapatkan pekerjaan yang diidamkan, anak muda ini memanfaatkan sepenuhnya bakat semula jadi dalam memainkan peralatan muzik tradisional sebagai platform untuk mencari rezeki.
Graduan UMS yang menamatkan pengajian pada tahun lepas ini mengakui tidak pernah merancang menjadi pemuzik jalanan secara sepenuh masa.
Namun, minatnya yang mendalam terhadap muzik sejak kecil mendorongnya untuk terus berkarya sebagai seorang penghibur jalanan atau busker.

Ikhwan Baginda (Baginda Busker) ditemu ramah dalam program iNSPO, berkongsi perjalanan seni muzik tradisionalnya.
“Saya memang minat main muzik sejak umur enam tahun kerana arwah bapa saya pemain tambul Bajau dan ibu saya pula bermain kulintangan. Saya sudah biasa dengan muzik sejak kecil.
“Saya bercita-cita menjadi guru, tetapi belum ada rezeki lagi. Sementara menunggu pekerjaan yang lebih baik saya buat busking,” katanya ketika ditemu bual secara langsung dalam program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah di sini, pada Selasa.
Menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat, Ikhwan dikenali dengan persembahan unik yang menggabungkan alat muzik tradisional seperti gong, kulintangan dan sundatang.
“Saya menggabungkan alunan alat muzik tradisional ini dengan lagu-lagu moden serta nostalgia, termasuk lagu Hindustan dan irama klasik. Keunikan ini membolehkan saya menarik minat penonton daripada pelbagai peringkat umur, bermula kanak-kanak hingga warga emas.
“Kadangkala saya tampil membuat persembahan dengan mengenakan topeng karakter untuk menceriakan suasana. Selain persembahan solo, saya juga menawarkan pakej persembahan berkumpulan mengikut permintaan klien, melibatkan pemuzik pelbagai instrumen seperti violin, gambus, akordion dan seruling,” katanya.

Ikhwan menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Puan Jainisah Mohd Noor, disaksikan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Puan Siti Mariam Aziz Rashid (dua dari kanan) dan Puan Sunday Grace Justimus.
Bagi Ikhwan, muzik bukan sekadar hiburan sebaliknya satu industri yang sentiasa relevan dan berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai antara penggerak industri seni tempatan.
“Selagi orang perlukan hiburan, muzik akan terus hidup. Yang penting kita konsisten dan sentiasa meningkatkan diri, jangan jadi biasa-biasa. Prinsip saya setiap hari mesti ada penambahan. Tidak kira usaha kecil atau besar asalkan konsisten itulah yang akan membawa hasil,” katanya.
Kini aktif membuat persembahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) serta pelbagai acara lain, Ikhwan berharap perjalanan hidupnya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda agar berani memanfaatkan bakat sebagai jambatan menuju masa depan yang lebih baik.
-RJ-





