
Laporan/foto: Hasbella Hasim (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 20 Dis (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang diusahakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Suak Dungun berjaya memperkasa ekonomi komuniti setempat melalui hasil jualan tanaman hidroponik yang lebih murah daripada harga pasaran.
Pengerusinya Imran Mohd Shafie berkata inisiatif tanaman hidroponik itu dipilih sebagai usaha merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.

Tanaman hidroponik merancakkan aktiviti ekonomi komuniti Kampung Suak Dungun.
“Sehingga kini, projek ini telah beberapa kali mengeluarkan hasil dan kita menjualnya kepada penduduk setempat dengan harga yang amat berpatutan.
“Kerajaan menyediakan modal dan kami sebagai pelaksana bertanggungjawab menjayakan projek ini demi manfaat komuniti setempat,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha JPKK Suak Dungun Muhammad Iqram Munawwar Mohammad Nasser berkata penetapan harga yang rendah itu merupakan komitmen pihak jawatankuasa dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Antara tanaman yang berjaya diusahakan.
Beliau berkata projek itu bukan sekadar bermatlamat untuk mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai ejen penggerak ekonomi luar bandar.
“Projek SejaTi MADANI ini bertujuan merancakkan ekonomi komuniti. Kami yang mengusahakan projek ini berasa puas kerana dapat mengembalikan hasilnya semula kepada masyarakat melalui harga jualan yang mampu milik,” katanya.
Program SejaTi MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang memberi ruang kepada komuniti untuk memutuskan sendiri projek ekonomi yang bersesuaian dengan potensi kawasan masing-masing melalui pemberian geran khas.
-RI





