Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Jualan Rahmah MADANI Bergerak Bantu Ringankan Beban Penduduk Gerik

By 20 Disember 2025Disember 22nd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Senaying/Husney (Hulu Perak)

GERIK, 20 Dis (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) menerusi inisiatif lori bergerak di Wisma Persekutuan Gerik di sini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.

Program yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 2 petang itu membolehkan penduduk di sekitar kawasan Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Fatin Nur Izzati Azmi ketika ditemui di lokasi PJRM, kelmarin.

Pembantu Penyelaras PJRM Fatin Nur Izzati Azmi berkata program jualan tersebut dilaksanakan secara berkala bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Bagi inisiatif lori bergerak ini, ia dilaksanakan dua bulan sekali, manakala bagi kawasan DUN Temengor secara keseluruhannya, jualan biasanya diadakan sebanyak tiga kali sebulan.

“Walaupun perbezaan harga mungkin tidak terlalu besar bagi sesetengah barangan, ia tetap memberi kesan signifikan dalam mengurangkan perbelanjaan harian rakyat,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Tinjauan di lokasi mendapati barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan telur ayam menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir seawal pagi.

PJRM di sambut baik penduduk setempat.

Seorang suri rumah Rafaeh Abd Manaf, 56, berkata program tersebut memudahkan beliau mendapatkan barangan dapur tanpa perlu pergi ke bandar besar.

“Saya sempat membeli beras, minyak dan telur. Harganya memang jauh lebih berpatutan dan sangat membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga untuk bulan ini,” katanya.

PJRM merupakan inisiatif berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) mendepani cabaran ekonomi semasa.

-RI

Tinggalkan komen anda