
Laporan/foto: Muhammad Zarul Afify/Farah Diana Azman
ASAHAN, 23 Dis (MalaysiaAktif) – Usaha yang dimulakan pada tahun 2006 sebagai hobi, kini menjadi sumber pendapatan lumayan seorang pengusaha puyuh apabila jumlah ternakannya meningkat daripada hanya 50 ekor kepada kira-kira 3,000 ekor.

Premis jualan puyuh sejuk beku milik Ismail Ahmad.
Ismail Ahmad, 51, berkata beliau memulakan semula penternakan di Nyalas, di sini sehingga berjaya membangunkan Ladang Puyuh Emas D’Nyalas yang kini mempunyai lapan buah reban.
Usahanya berkembang secara berperingkat selari dengan permintaan pasaran walaupun keseluruhan operasi penternakannya dilakukan dengan menggunakan modal sendiri tanpa menerima sebarang suntikan dana daripada agensi berkaitan.
“Permintaan terhadap puyuh adalah semakin tinggi terutamanya menjelang musim perayaan dengan hasil ternakan dihantar ke Bukit Gambir dan disokong oleh pelanggan tetap.
“Saya turut merancang untuk menambah tujuh lagi reban bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, selain sokongan daripada isteri saya Sapurah Anuwar yang menjadi sumber inspirasi utama dalam mengembangkan perusahaan penternakan ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
-RI





