
Laporan/ foto: Mohd Rafezan Shawal/ Facebook KPDN Johor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 24 Dis (MalaysiaAktif) – Sebanyak 354 kes telah direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor atas pelbagai kesalahan di negeri itu sehingga semalam.

SHMMP Krismas 2025 dilaksanakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan berada pada tahap yang baik dan mencukupi
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata pemeriksaan tersebut dijalankan sejak dari awal tahun bersempena musim perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali melibatkan 1,233 premis perniagaan di seluruh negeri.
“Statistik kes kesalahan pada tahun ini meningkat kepada 80 peratus iaitu sebanyak 78 kes kesalahan SHMMP (Skim Harga Maksimum Musim Perayaan) bagi musim perayaan berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 343 kes telah direkodkan atas kesalahan kegagalan peniaga meletakkan dan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan yang menjadi panduan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran SHMMP sempena Hari Krismas 2025 di sebuah pasar raya, di sini semalam.

Sebanyak sembilan barangan telah dikenal pasti sepanjang tempoh SHMMP iaitu daging kambing biri-biri, ubi kentang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar dan bawang kuning besar
Tambahnya lagi, antara kesalahan yang dikenakan saman dan kompaun terhadap peniaga termasuk tidak mempamerkan tanda harga melibatkan enam kes, serta lima kes menjual barangan melebihi harga kawalan dalam tempoh perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
“Sekiranya peniaga tidak mempamerkan tanda harga merah jambu, ia boleh menyebabkan pengguna tidak mengetahui harga sebenar barang di bawah skim kawalan dan ini menjadi satu kesalahan yang amat serius,” katanya.
SHMMP Krismas bermula pada 23 hingga 27 Disember selama lima hari membabitkan sembilan barangan kawalan di Johor manakala 14 item lain di peringkat pasaran nasional.
-AA-





