
Laporan/foto: Aini/Polis Perlis (Perlis)
KANGAR, 6 Jan (MalaysiaAktif) – Polis berjaya menumpaskan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram menerusi operasi bersepadu Op Elektrik/Cantas melibatkan tujuh premis di sekitar Kangar dan Kuala Perlis, Rabu lepas (31 Dis 2025).

Pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti perlombongan bitcoin dirampas, termasuk unit bitcoin mining set, sebuah komputer riba, dua unit Wi-fi router, modem serta kabel rangkaian.
Ketua Polis Perlis Dato’ Muhammad Abdul Halim berkata serbuan dan pemeriksaan fizikal antara 9 pagi hingga 5.40 petang itu dilakukan di tujuh lokasi merangkumi premis perniagaan dan kediaman antaranya di Pusat Perniagaan Marina dan Kompleks Perniagaan Kuala Perlis, Taman Sri Hartamas, Taman Ira Jaya, Wisma Perkumpulan Perempuan serta Taman Kangar Jaya.
“Hasil pemeriksaan mendapati wujud bukti munasabah berlakunya penyambungan tidak sah pada pepasangan elektrik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin,” katanya pada sidang media di Balai Polis Simpang Empat, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkuan 40-an di sebuah premis di Taman Sri Hartamas, Kangar dan suspek katanya telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Muhammad menunjukkan pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti perlombongan bitcoin.
“Pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti perlombongan bitcoin dirampas, termasuk 33 unit bitcoin mining set, sebuah komputer riba, dua unit Wi-fi router, modem serta kabel rangkaian.
“Berdasarkan sumber awal pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerugian akibat penyambungan elektrik secara tidak sah bagi kesemua premis yang diserbu dianggarkan melebihi RM15,553,965.80 juta, dengan operasi dipercayai berjalan antara tiga bulan hingga setahun,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kecurian elektrik atau mengesyaki mana-mana premis menjalankan pemasangan bekalan elektrik secara tidak sah supaya tampil menyalurkan maklumat kepada IPK Perlis atau mana-mana balai polis berhampiran.
Operasi berkenaan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Task Force IPD Kangar, Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, TNB Perlis dan Pulau Pinang, Pasukan Pasukan Khas Menentang Kerugian (SEAL) TNB serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
-RI





