
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Fazli Salleh
JOHOR BAHRU, 8 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor melalui kerjasama Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tourism Johor bakal memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dalam masa terdekat bagi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata inisiatif itu direka khas bagi menyediakan kemudahan pengangkutan yang selesa dan mudah untuk pelancong serta penduduk tempatan melibatkan lapan lokasi hentian utama merangkumi mercu tanda sejarah dan pusat tumpuan pelancongan.
“Bas ulang-alik ini akan berhenti di lokasi strategik bermula dari Bangunan JOTIC (Johor Tourist Information Centre), Mercu Tanda 0 km, JBCC, Galeria Kotaraya, Bangunan Sultan Ibrahim, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Zoo Johor dan berakhir di Kota Jail.
“Selain lokasi-lokasi utama ini, pengunjung juga mempunyai akses mudah ke pelbagai tempat menarik berhampiran yang boleh dicapai dengan hanya berjalan kaki dari setiap titik hentian bas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli memaklumkan sebanyak tiga buah bas dengan kapasiti 20 penumpang bagi setiap unit akan beroperasi secara berperingkat mengikut keperluan semasa bagi memastikan kelancaran perjalanan.
“Perkhidmatan ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. Kami komited untuk memberikan kemudahan yang praktikal dan mesra pengguna agar setiap penumpang dapat menikmati pengalaman melawat Johor dengan lebih menyeronokkan,” katanya.
-RI





