
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)/Mazlini Mazlan
TAPAH, 10 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 75 pelajar sekolah rendah sekitar daerah ini berpeluang menyelami dunia sains melalui program Little Scientist Camp 2026 anjuran Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, di sini kelmarin.

Peserta Program Little Scientist Camp 2026 didedahkan kepada eksperimen Fizik secara interaktif di Makmal Fizik.
Program yang menyasarkan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun itu bertujuan memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak di bangku sekolah rendah.
Pengarah Program Nurul Nazwa Mohammad berkata inisiatif tersebut memberi peluang unik kepada peserta untuk merasai pengalaman pembelajaran sebenar di menara gading.
“Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), peserta didedahkan dengan konsep sains asas secara interaktif dan menyeronokkan di dalam makmal Fizik, Kimia serta Biologi.
“Selain memperkukuh pemahaman sains, kami juga ingin menyemai kesedaran awal tentang kepentingan pendidikan tinggi, khususnya dalam memilih UiTM sebagai destinasi menyambung pengajian pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau berharap pengisian aktiviti amali tersebut dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai keyakinan tinggi serta berfikiran saintifik.

Aktiviti amali peserta Program Little Scientist Camp 2026 semasa sesi pembelajaran di Makmal Kimia.
Hadir sama Ketua Pusat Pengajian Dr. Fathiah Abdullah dan Koordinator Program AS120 Dr. Noor Fadhilah Muhamad Sahapini.
Program dari pukul 8 pagi hingga 4 petang itu digerakkan oleh 35 ahli jawatankuasa terdiri daripada pensyarah dan staf Unit Makmal Sains, dengan bantuan 30 fasilitator daripada kalangan pelajar Diploma Sains.
Rata-rata ibu bapa dan pihak sekolah memberikan maklum balas positif terhadap penganjuran berkenaan dan berharap ia dapat diteruskan sebagai platform tahunan bagi pembangunan pendidikan STEM di negeri Perak.
-RI





