Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

RM25 Juta Diperuntuk bagi Kerja Awalan LPT4 di Johor

By 10 Januari 2026Januari 12th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

JOHOR BAHRU, 10 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM25 juta bagi memulakan kerja-kerja awalan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) yang dijadualkan bermula pada tahun ini.

Cadangan LPT4 sepanjang 142 kilometer dari Ulu Tiram ke Mersing dijangka memacu pembangunan setempat dan melengkapkan rangkaian lebuh raya sedia ada dari Pahang ke Johor, melibatkan jajaran Johor Bahru–Kota Tinggi, Kota Tinggi–Mersing dan Mersing–Endau.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata cadangan projek LPT4 sepanjang 142 kilometer (km) dari Ulu Tiram ke Mersing bakal memacu pembangunan setempat dan melengkapkan rangkaian lebuh raya sedia ada dari Pahang ke Johor.

“Mengikut perancangan asal, projek ini merangkumi tiga jajaran utama iaitu Johor Bahru ke Kota Tinggi sepanjang 30 km, Kota Tinggi ke Mersing sepanjang 80 km, manakala baki 32 km menghubungkan Mersing ke Endau.

“Walaupun LPT4 pada asalnya merupakan cadangan di bawah Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) untuk dibina selepas tahun 2030, namun kerajaan negeri meletakkannya sebagai keutamaan memandangkan pembangunan pesat di Johor ketika ini,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, semalam.

Menurut Mohamad Fazli, langkah mengutamakan projek itu juga bertujuan memastikan wilayah pantai timur Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi tidak ketinggalan dalam arus pembangunan arus perdana.

”Pelaksanaan LPT4 dijangka memberikan impak positif yang optimum terhadap pertumbuhan ekonomi negeri, selain meningkatkan tahap ketersambungan dan keselesaan perjalanan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda