
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Onn Hafiz Ghazi (Johor)
JOHOR BAHRU, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa keperluan asas rakyat melibatkan bekalan air dan elektrik kekal menjadi keutamaan tertinggi dan tidak akan dikompromi susulan kemasukan pelaburan strategik yang kian rancak di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata setiap pelaburan berskala besar termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi hanya akan dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat.

Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan telah meluluskan projek rezoning bernilai RM1.02 bilion untuk meningkatkan kecekapan agihan air di Iskandar Puteri dan Sedenak
“Hasil pertemuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan bekalan elektrik di kawasan JS-SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal.
“Setakat Disember 2025, kapasiti terpasang adalah sebanyak 3,885 megavolt ampere (MVA) dengan permintaan semasa sekitar 1,272 megawatt (MW), sekali gus menunjukkan kadar penggunaan pada tahap 72.76 peratus yang berada dalam margin operasi sihat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menyentuh mengenai pengurusan sumber air, Onn Hafiz memaklumkan bahawa Ranhill SAJ (RSAJ) melaporkan peruntukan kapasiti bekalan air di kawasan JS-SEZ mencecah 1,488 juta liter sehari (JLH).
“Dengan pengeluaran semasa sekitar 1,261 JLH, wilayah tersebut masih memiliki kapasiti rizab sebanyak 227 JLH atau 15 peratus bagi memastikan kesinambungan bekalan di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, dan Pontian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan telah meluluskan projek rezoning bernilai RM1.02 bilion melibatkan kapasiti tambahan sebanyak 260 JLH yang akan memberi manfaat utama kepada kawasan strategik di Iskandar Puteri dan Sedenak bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat.
“Sebagai langkah proaktif, lima Loji Rawatan Air baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai akan dibangunkan secara berperingkat melalui kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menambah lebih 1,100 juta liter sehari kapasiti baharu, sekali gus memastikan bekalan air di Johor kekal mencukupi dan stabil sehingga tahun 2035,” katanya.
-AA-





