Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Peristiwa Israk Mikraj Medium Perkukuh Institusi Solat dan Disiplin Rohani

By 17 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Pejabat Daerah Tangkak (Tangkak)

TANGKAK, 17 Jan (MalaysiaAktif) — Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negeri Johor bagi tahun 1447H/2026M berlangsung dengan penuh penghayatan, menekankan kepentingan ibadah solat sebagai tonggak pembentukan jati diri umat Islam dalam mendepani cabaran semasa.

Program dimulakan dengan alunan selawat dan solat maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan Forum Khas Israk Mikraj yang menampilkan barisan ahli panel berwibawa bagi mengupas hikmah di sebalik perjalanan agung Rasulullah SAW.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis.

Kadi Besar Negeri Johor Sohibul Fadilah Halid Sono, berkata peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar sejarah, sebaliknya merupakan manifestasi kekuasaan Allah SWT serta ujian keimanan yang menuntut keyakinan mutlak.

“Israk dan Mikraj mengajar kita bahawa iman menuntut keyakinan sepenuhnya kepada kekuasaan Allah, manakala solat yang difardukan dalam peristiwa ini menjadi tonggak utama pembentukan insan beriman,” katanya semasa sesi forum berkenaan yang diadakan di Masjid Bandar Tangkak, di sini semalam.

Program telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Md Ali, yang hadir selaku wakil rasmi kepada Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Kadi Daerah Tangkak Khairudin Salimin mengingatkan jemaah bahawa penghayatan terhadap peristiwa itu perlu diterjemahkan melalui tindakan luar daripada sekadar penceritaan lisan.

Beliau menekankan bahawa bukti sebenar kecintaan terhadap sirah ini adalah melalui penjagaan kualiti solat serta pemantapan akhlak dalam kehidupan seharian.

Menyentuh aspek disiplin rohani, Penolong Mufti Johor (Bahagian Fatwa) Esby Islami Rifa’i menjelaskan bahawa ketaatan yang konsisten merupakan tunjang kepada kekuatan umat.

“Hubungan dengan Allah SWT perlu dipelihara melalui ibadah yang konsisten dan kefahaman agama yang sahih agar disiplin rohani kita sentiasa berada di landasan yang benar,” ujarnya.

Turut hadir Mufti Negeri Johor Dato’ Yahya Ahmad, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor Dato’ Muhammad Khaldun Mohamad Sharif, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Dato’ Dr. Nooh Gadot dan Pegawai Daerah Tangkak Ungku Suzana Ungku Mohammad.

-RI

Tinggalkan komen anda