
Laporan/foto: Maznah Ngah (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Sambutan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW Peringkat Negeri Terengganu 1447H/2026 berlangsung dengan penuh penghayatan dan makna di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), di sini kelmarin.

PU Syed, berkata Israk dan Mikraj sebagai landasan membina disiplin diri, khususnya dalam menjaga solat serta memperkukuh keimanan dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
Program keagamaan ini menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan bagi menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj, iaitu perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha yang menjadi titik penting dalam sejarah Islam melalui pensyariatan ibadah solat fardu lima waktu.
Penceramah bebas, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak (PU Syed), dalam ceramahnya menekankan kepentingan penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai landasan membina disiplin diri, khususnya dalam menjaga solat serta memperkukuh keimanan dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
Kakitangan kerajaan, Rosnita Endut, 42, berkata sambuatn Israj Mikraj ini dapat membangkitkan dan menanam kecintaan kepada perjuangan Rasulullah SAW, malah menjadi simbol kekuatan iman, ketaatan serta hubungan erat antara hamba dan Pencipta.

Menurut Rosnita sambutan Israk Mikraj memberi ruang kepada umat Islam untuk mengimarahkan program keagamaan di masjid.
“Israk Mikraj turut memberikan ruang kepada umat Islam untuk bersama-sama menghadiri program keagamaan seperti ceramah, tazkirah dan doa selamat di masjid-masjid sekali gus mengeratkan lagi semangat keagamaan dalam komuniti,” katanya.
Kemuncak sambutan diserikan dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menyentuh hati para hadirin.
Sambutan ini diharap dapat terus menjadi platform berkesan dalam mendidik masyarakat agar meneladani sirah Rasulullah SAW serta mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh dalam kehidupan seharian.
-RI





