
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri Johor memperkasakan penguatkuasaan terhadap amalan membuang sampah kecil dengan menggerakkan seramai 40 anggota penguat kuasa dalam satu operasi khas di Terminal Pengangkutan Awam JB Sentral, di sini hari ini.
Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata menerusi operasi tersebut, sebanyak 50 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di bawah Seksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda hingga RM2,000 atau dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat sehingga enam bulan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 22 pesalah merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi melibatkan warga asing yang terdiri daripada lapan pelancong dan 20 pekerja asing.
“Khusus bagi operasi di JB Sentral hari ini, lima NPK telah dikeluarkan kepada warga tempatan. Kehadiran anggota yang ramai pada hari ini adalah mesej jelas bahawa pihak berkuasa mahu menamatkan terus budaya membuang sampah kecil yang mencemarkan imej negeri,” katanya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai prosedur tindakan, Zainal Fitri menjelaskan individu yang melakukan kesalahan akan menerima notis rasmi untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Ujarnya, jika disabitkan kesalahan pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau mandatori Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi tempoh tidak melebihi enam bulan dengan jumlah kerja maksimum 12 jam.

Setiap individu, sama ada rakyat tempatan mahupun pelawat, wajib menghormati undang-undang kebersihan yang telah ditetapkan di negara ini.
“Sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan PKM akan mengakibatkan hukuman yang lebih berat dikenakan dengan denda maksimum sehingga RM10,000 jika disabitkan,” katanya.
Zainal Fitri turut menegaskan bahawa setiap individu, sama ada rakyat tempatan mahupun pelawat, wajib menghormati undang-undang kebersihan yang telah ditetapkan di negara ini.
“SWCorp mengingatkan pengguna pengangkutan awam di JB Sentral agar menjaga kebersihan kerana sampah seperti puntung rokok dan plastik makanan boleh mencalar imej negara di mata pelancong, serta tindakan tegas akan diambil demi memastikan Johor kekal bersih sebagai destinasi bertaraf dunia terutamanya sempena Tahun Melawat Johor 2026,” tegasnya.
-RI





