
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) menjadi inisiatif terbaik bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak menjelang sesi akademik baharu.

Zarina bersyukur dengan bantuan yang diterima
Tinjauan MalaysiaAktif mendapati bantuan yang disalurkan kerajaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa bagi membeli keperluan asas sekolah seperti pakaian seragam, kasut, alat tulis dan beg sekolah, sekali gus mengurangkan tekanan perbelanjaan pada awal tahun.
Zarina Mohd Radzi, 43, berkata bantuan tersebut amat membantu keluarganya dalam mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan yang semakin meningkat menjadikan bantuan awal seperti ini sangat bermakna terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Dengan adanya bantuan ini, sekurang-kurangnya kami tidak terlalu terbeban untuk menyediakan keperluan asas anak-anak sebelum sekolah dibuka,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Dengan adanya BAP, ibu bapa tidak terlalu terbeban memikirkan perbelanjaan persekolahan
Sementara itu, Safarin Sanusi, 41, turut menyifatkan BAP sebagai satu bukti keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Bila beban awal tahun dapat diringankan, ibu bapa boleh fokus kepada perkara lain seperti motivasi dan sokongan pembelajaran anak-anak,” katanya.
Beliau berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan ditambah lagi pada masa hadapan kerana memberi impak positif secara langsung kepada keluarga dan sektor pendidikan negara.
-AA-





