
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Norazuwan Mohd Yussof (Kinabatangan)
KINABATANGAN, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Bantuan disalurkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad berupaya meningkatkan produktiviti serta memperkasa perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan luar bandar, khususnya di Parlimen Kinabatangan, menerusi pelaksanaan program yang berlangsung di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), FELCRA bersama beberapa agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan bantuan khas bagi menyokong pembangunan ekonomi usahawan tempatan.
Penerima Bantuan Program Industri Desa FELCRA 2026 Shali Rangon, 62, berkata, bantuan bernilai RM20,000 yang diterima akan dimanfaatkan untuk membantu usahawan IKS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau.
“Usahawan IKS ini terdiri daripada tukang jahit, pengusaha restoran dan pemilik kedai kecil di kawasan desa. Bantuan ini akan digunakan untuk pembinaan premis serta penambahan peralatan perusahaan.

Shali Rangon menerima cek cura Bantuan Program Industri Desa FELCRA 2026 bernilai RM20,000 daripada Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Program KKDW Santuni Rakyat di Kinabatangan bagi menyokong perkembangan industri kecil dan sederhana luar bandar.
“Sebelum ini, kebanyakan mereka memulakan perniagaan menggunakan modal kecil hasil jualan sendiri tanpa sebarang bantuan,” katanya ketika ditemui semasa Program KKDW Santuni Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, pengusaha produk makanan Jimaliah Jimran, 45, berkata bantuan kewangan daripada FELCRA akan membantu meningkatkan produktiviti serta pemasaran produknya.
“Saya menerima Bantuan Program Premis Perniagaan FELCRA 2026 bernilai RM100,000 dan dana ini akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti produk, pemasaran serta mengembangkan ekonomi perniagaan secara menyeluruh.
“Sebelum ini, FELCRA turut menyediakan bantuan peralatan, latihan keusahawanan dan pendedahan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu usahawan meluaskan pasaran,” katanya.

Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat yang hadir antaranya daripada komuniti FELCRA dan RISDA.
Dalam majlis sama, beliau menyampaikan pelbagai bantuan lain termasuk Program Sumbangan Inisiatif Pendidikan Generasi FELCRA kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sumbangan CSR Tangki Air Biru RISDA, Bantuan Prasarana Asas Pertanian RISDA Kampung Sungai Lokan serta Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang memanfaatkan 600 pelajar B40.
-RJ-





