Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Tangki Bahan Kimia Jatuh Dalam Laut di Linkedua Berjaya Diangkat

By 23 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Operasi mengangkat keluar salah satu tangki bahan kimia yang terjatuh ke dalam laut di Kilometer 0.8, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) susulan kemalangan pada Julai tahun lalu, berjaya dilaksanakan sepenuhnya semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata tangki yang membawa muatan bahan kimia jenis Propylene Glycol itu diangkat menggunakan kren oleh pihak konsultan, IGS Network (M) Sdn. Bhd. dalam operasi yang bermula jam 8 pagi.

Salah satu tangki bahan kimia yang terjatuh ke laut di KM0.8 Jambatan Linkedua akibat kemalangan Julai lalu berjaya diangkat menggunakan kren.

Menurutnya, kejayaan operasi itu sekali gus melenyapkan kebimbangan komuniti nelayan serta pengusaha bot dan feri berhubung risiko halangan navigasi di dasar laut.

“Pihak konsultan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) akhirnya berjaya mengeluarkan tangki dan treler tersebut selepas tujuh bulan insiden berlaku. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini,” katanya ketika ditemui di atas tongkang kren, di sini semalam.

Pandak turut memaklumkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah yang dijadualkan pada Selasa depan (27 Jan).

Sementara itu, Pengarah Urusan IGS Network (M) Sdn. Bhd., Sr. Amy Ellyza Ghani menjelaskan proses pengangkatan dari dasar laut ke atas tongkang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Jelasnya, operasi tersebut dipantau rapi secara bersepadu melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), JLM, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Proses pengangkatan tangki bahan kimia dari dasar laut ke atas tongkang mengambil masa kira-kira 45 minit.

“Tongkang yang membawa tangki ini akan bergerak melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sebelum dihantar ke Jeti Gerisik di Gelang Patah, Johor bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini, struktur sebenar bahagian dalaman kontena masih belum dapat dipastikan dan pemeriksaan teliti akan dilakukan sejurus tiba di lokasi pemeriksaan,” katanya.

Dalam kejadian pada 24 Julai tahun lalu, sebuah lori membawa muatan bahan kimia dilaporkan terbabas di jambatan Linkedua menyebabkan tangki yang dibawa terjatuh ke dalam laut.

-RI

Tinggalkan komen anda