
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini mencatatkan sejarah penguatkuasaan pembersihan awam apabila dua kes pertama melibatkan kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dibawa ke perbicaraan.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru merekodkan dua kes pertama pembuangan sampah kecil di bawah Akta 672
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata dalam prosiding tersebut seorang warga asing dari Indonesia berusia 49 tahun telah didenda sebanyak RM500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuang botol plastik di kawasan awam sekitar Jalan Stulang Laut.
“Selain denda, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan dan pelaksanaannya ditetapkan selama dua jam setiap hari mengikut kesesuaian pesalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan berkenaan, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi kes kedua atas pertuduhan membuang puntung rokok melibatkan warganegara Bangladesh berusia 28 tahun pula, mahkamah telah menetapkan 28 Jan ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan khidmat jurubahasa disediakan atas permintaan tertuduh.
Menurut Khalid, kesemua prosedur pendakwaan dijalankan secara adil, di mana notis yang dikeluarkan telah mendapat kelulusan daripada Tribunal Pengurusan Strata (TPS) secara berperingkat sebelum dibawa ke mahkamah.

Khalid berkata warga asing yang melanggar undang-undang pembuangan sampah kecil berisiko sukar memasuki semula negara ini
Dalam pada itu, Khalid memaklumkan berdasarkan statistik semasa sehingga semalam, sebanyak 418 kes telah direkodkan di seluruh negara melibatkan 315 warga tempatan dan 103 warga asing.
“Pihak kami telah menerima izin dakwa bagi 99 kes, dan mengikut rekod mahkamah, sebanyak 15 kes telah dipersetujui untuk dibicarakan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas mengenai warga asing yang melanggar undang-undang tersebut tetapi telah pulang ke negara asal, Khalid menegaskan pihaknya menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Secara pentadbiran, mereka akan berdepan kesukaran untuk memasuki semula negara ini. Kami juga sedang dalam proses menyemak dan membuat pindaan peraturan bagi memastikan mana-mana warga asing atau pelancong tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegas beliau.
Mengenai bentuk Perintah Khidmat Masyarakat yang dikenakan, Khalid menjelaskan ia merangkumi aktiviti pembersihan seperti menyapu sampah, membersihkan longkang, mencuci tandas, mencuci lantai serta memotong rumput.
Beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan pesalah sepanjang menjalani tempoh perintah berkenaan akan sentiasa dipantau dan berada dalam keadaan terkawal.
-AA-





