
Laporan/foto: Amalina Shazwani Suhaimi/Shamsul Bahari Abdul Shukor
SEBERANG JAYA, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan awam, sekali gus bertindak sebagai pemangkin kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sektor kesihatan di Seberang Perai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pembangunan HSJ selari dengan aspirasi Visi Penang 2030 yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata bangunan baharu HSJ yang mula beroperasi pada 5 Mei tahun lalu dilengkapi dengan fasiliti moden serta peningkatan kapasiti ketara bagi menampung keperluan rawatan yang semakin meningkat.
Penaiktarafan tersebut melibatkan penambahan 316 katil baharu, menjadikan keseluruhan 729 katil, selain enam dewan bedah tambahan, tujuh katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 16 katil Cardiac Rehabilitation Ward khusus bagi perkhidmatan Kardiologi Kanak-Kanak.
”Melalui penaiktarafan ini, penduduk Seberang Perai tidak perlu lagi mengharungi kesesakan di jambatan untuk ke Hospital Pulau Pinang semata-mata bagi mendapatkan rawatan pakar.

Petugas HSJ bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”Fasiliti ini membawa perkhidmatan kepakaran lebih dekat kepada rakyat. Malah, dengan pertambahan kapasiti katil dan dewan bedah, kita mampu memendekkan tempoh menunggu bagi pembedahan elektif serta rawatan kritikal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu HSJ, di sini semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan bangunan berkenaan, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
-RI





