
Laporan/foto: Abd Aziz Osman
KEPALA BATAS, 25 Jan (MalaysiaAktif) – Muzium Arkeologi Guar Kepah dijangka menjadi pemangkin pemerkasaan warisan, pendidikan dan pelancongan Pulau Pinang apabila ia bukan sahaja memelihara khazanah sejarah prasejarah negara, malah membuka ruang pembelajaran rentas disiplin serta tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tiga dari kiri).
Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan Galeri Arkeologi Guar Kepah bersempena siri lawatan rasmi beliau ke beberapa lokasi utama di Pulau Pinang, di sini semalam berkata pembangunan negara tidak boleh bersifat satu dimensi atau tertumpu kepada satu disiplin ilmu semata-mata.
Beliau berkata, ia sebaliknya perlu dirangka secara menyeluruh merangkumi bidang sains, sejarah, pendidikan dan pelancongan bagi melahirkan masyarakat yang progresif serta bertamadun.
“Jadi, galeri ini adalah tunjang utama, tetapi ia perlu dibangunkan lagi. Ia harus berfungsi sebagai pusat ilmu supaya orang ramai memahami maksud arkeologi, maksud ekologi dan bagaimana ekologi itu berkait rapat dengan usaha menyingkap warisan negara,” katanya.
Galeri ini merupakan sebuah fasiliti canggih yang dibina di tapak ekskavasi timbunan cengkerang bersejarah dan telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Selain menyediakan ruang pameran interaktif, galeri berkenaan juga dilengkapi dengan dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta beberapa kemudahan lain termasuk surau dan tandas untuk kemudahan pengunjung.

Tapak asal penemuan rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun yang juga dikenali sebagai Penang Woman.
Ia dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Wilayah Koridor Utara (NCER) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) serta Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, dengan kerja pembangunannya bermula pada 14 Nov 2022 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2024.
Antara tarikan utama galeri ini merupakan Penang Woman, iaitu rangka Neolitik pertama berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan di kawasan tersebut, selain turut mempamerkan tulang-tulang rangka yang sebelum ini disimpan di Belanda selepas berjaya dibawa pulang hasil kerjasama erat kerajaan Malaysia bersama pihak berkuasa Belanda.
-RI





