Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Nat Langgar Jadi Nadi Ekonomi dan Tumpuan Penduduk Setempat

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)

LANGGAR, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Pasar sehari Nat Langgar yang beroperasi setiap pagi Isnin di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terus menjadi nadi ekonomi penduduk setempat apabila menyediakan pelbagai barangan keperluan harian pada harga kompetitif.

Orang ramai sedang memilih durian untuk dibeli

Ia sekali gus membantu menjana pendapatan peniaga kecil dan mengukuhkan ekonomi komuniti di pinggir bandar raya Alor Setar.

Menurut seorang suri rumah, Salmah Osman, 54, kunjungan ke Nat Langgar bersama suaminya setiap pagi Isnin merupakan satu kemestian kerana pilihan barangan yang pelbagai dan harga yang berpatutan.

“Saya sering datang ke sini kerana pilihannya sangat banyak. Daripada barang basah sehinggalah ke perkakas rumah dan pakaian, semuanya ada di satu tempat. Harga yang ditawarkan juga amat berbaloi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nat Langgar menempatkan pelbagai jenis lot perniagaan yang menjual barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran dan daging, selain pakaian, barangan runcit, makanan siap dan keperluan rumah, sekali gus menjadikannya pusat sehenti bagi penduduk setempat.

Peniaga ikan sedang menunjukkan ikan segar

Pengurusan pasar yang sistematik, khususnya dari segi penyusunan lot perniagaan, membantu melancarkan pergerakan pengunjung yang sentiasa sesak setiap minggu.

Kerjasama peniaga yang berdisiplin serta pemantauan berterusan pihak berkuasa tempatan turut memastikan kawasan pasar kekal teratur, selamat dan bersih.

Bagi penduduk sekitar, kewujudan Nat Langgar bukan sekadar sebuah pasar sehari, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan sesama komuniti serta mengekalkan tradisi ekonomi rakyat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kelestarian ekonomi setempat.

-AA-

Tinggalkan komen anda