
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Polis Daerah Johor Bahru Utara (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 247 saman telah dikeluarkan manakala 117 buah motosikal turut disita dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Operasi Mat Rempit oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini Sabtu lepas.

Operasi Bersepadu ini telah dijalankan semalam di lokasi Jalan Persiaran Tun Sri Lanang dan sekitar bandaraya Johor Bahru bermula jam 6 petang dan berakhir pada 2 Februari 2026 jam 2 pagi
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt. Ng Swie Chait berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, ubah suai struktur dan ekzos, lampu hadapan silau dan tiada cermin sisi.
“Seramai 215 individu dan 203 kenderaan telah diperiksa oleh pihak polis serta agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“JAS turut membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan bunyi bising ekzos dan asap kenderaan yang tidak melebihi paras yang dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di IPD Johor Bahru Selatan, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supt. Ng Swie Chait menandatangani buku pelawat di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan selepas tamat operasi yang dijalankan semalam
Sementara itu, Ng berkata polis turut menjalankan saringan awal air kencing terhadap individu yang mencurigakan dalam operasi berkenaan.
“Hasil saringan air kencing mendapati terdapat beberapa individu positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan THC.
“Polis turut menahan salah seorang individu yang dikehendaki berkaitan kes dadah. Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-AA-





