
Laporan/foto: Farhani Ismail (Kulim)
KULIM, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Wira Anti Rasuah (WAR) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Zon Utara 2026 membuktikan komitmen kolektif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan rakan strategik dalam melahirkan generasi kepimpinan negara masa depan yang berintegriti, beretika dan bebas rasuah.

Ucapan dari Pengarah Bahagian Pendidikan SPRM, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata program yang berusia lebih 10 tahun itu hasil kerjasama pihaknya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Beliau berkata program WAR di MRSM PDRM Kulim adalah siri pertama tahun ini dan siri ke-31 sijak ia diperkenalkan sebelum meneruskan dua lagi siri di Zon Timur dan Selatan.
“Kecemerlangan intelek tanpa integriti adalah satu kegagalan yang berbahaya. Justeru, program WAR ini bukan bertujuan menakutkan para pelajar MRSM, sebaliknya menjadi platform membentuk keberanian moral, memupuk sifat amanah serta menanam nilai kejujuran sebagai prinsip hidup selari dengan seruan Kempen Keep Malaysia Clean oleh SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini, semalam.

Seramai 643 pelajar bergambar kenangan di Dewan Sri Lanang
Selain itu, slot khas SPRM dan PDRM bersama pelajar turut dijalankan serentak di Dewan Sri Lanang dengan penyertaan seramai 643 pelajar tingkatan satu hingga lima, bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai bahaya rasuah dan kepentingan nilai integriti dalam kehidupan.
Penganjuran Program WAR MRSM Zon Utara ini dilihat sebagai platform strategik dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jati diri kukuh, berintegriti tinggi dan berani menolak sebarang bentuk rasuah demi masa depan negara yang bersih dan berwibawa.
-AA-





