
Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)
YAN, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Warung Lah Roti Canai di Kampung Ulu Sedaka, di sini berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mengetengahkan konsep hiasan klasik era 1960-an, sekali gus mewujudkan suasana nostalgia yang unik kepada pengunjung.

Antara hiasan barangan antik yang terdapat di Warung Lah Roti Canai
Pemiliknya, Anas Adham Abdullah, 35, mengambil alih perniagaan keluarga pada Julai tahun lepas dengan menumpukan roti canai sebagai menu utama warungnya.
Menurut Anas, roti canai sarang burung menjadi tarikan utama dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
Beliau turut dibantu oleh rakan-rakan serta ahli keluarga dalam menguruskan operasi harian warung yang dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Konsep hiasan bertemakan 1960-an tercetus daripada idea sahabatnya, Hafiz Ahmad dengan barangan antik diperoleh daripada pasar karat, media sosial, rumah penduduk tempatan, serta sumbangan orang ramai.
Anas berharap lebih ramai anak muda berani menceburi bidang perniagaan kerana ia berpotensi menjadi sumber pendapatan harian serta peluang membina masa depan yang lebih baik.
-AA-





