Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

HI-EDU FAIR 2.0 2026 Platform Teroka Pendidikan dan Kerjaya STEM

By 5 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)

KUALA NERANG, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Program HI-EDU FAIR 2.0 2026 yang berlangsung di Kolej MARA Kuala Nerang hari ini tampil sebagai pameran pendidikan berimpak tinggi yang meneroka masa depan pendidikan dan kerjaya, selari dengan tema STEM Education. Innovative Minds. Entrepreneurial Future.

HI-EDU FAIR 2.0 2026 bukan sekadar pameran akademik, malah berfungsi sebagai ruang interaksi langsung antara pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti setempat dalam memahami keperluan dunia pekerjaan yang semakin dipacu oleh sains, teknologi dan inovasi.

Pameran ini menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pemain inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta elemen keusahawanan dalam satu platform dinamik yang bertujuan membuka minda masyarakat terhadap peluang pendidikan, kemahiran masa hadapan dan kebolehpasaran kerjaya.

Antara pengisian menarik yang menjadi tumpuan pengunjung ialah Jualan Rahmah dan Preloved Bundle yang membantu meringankan kos sara hidup, selain Jualan Buku Eksklusif yang menyokong budaya membaca dan pembelajaran berterusan.

Suasana pameran turut dimeriahkan dengan Busking Arena yang memberi ruang bakat tempatan menyerlahkan kreativiti mereka.

Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan penglibatan komuniti, program ini turut menampilkan aktiviti Senamrobik dan Fun Walk, selain Program Cuci-cuci melibatkan cucian kereta dan motosikal.

Aspek kesejahteraan pula diberi perhatian melalui Program Cat Care (Kesihatan Kucing) serta reruai Kesihatan Gigi yang menyediakan pemeriksaan asas kepada pengunjung.

Tidak ketinggalan, aktiviti Chess for Fun turut dianjurkan sebagai simbol pemikiran strategik dan kemahiran berfikir aras tinggi yang selari dengan semangat pendidikan STEM.

Salah seorang pengunjung, Rohizar Shafiee, 61, berkata pihak industri juga perlu dilibatkan kerana ciptaan dan inovasi pelajar berpotensi untuk dikomersialkan.

“Saya berharap bahawa pameran pendidikan seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan kerana ia memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan serta melanjutkan pelajaran,” katanya.

Penganjuran HI-EDU FAIR 2.0 2026 membuktikan komitmen penganjur dalam menjadikan pendidikan sebagai pemangkin inovasi, keusahawanan dan pembangunan modal insan, khususnya dalam melahirkan generasi berfikiran kreatif dan berdaya saing untuk masa depan negara.

-AA-

Tinggalkan komen anda