
Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud / Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bakal dipenuhi gema ayat suci al-Quran apabila Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Negeri Sabah (MTHQNS) Peringkat Negeri 1447H/2026 berlangsung dari 9 hingga 13 Feb ini.
Bertemakan “Membangun Ummah Madani”, program ini menjadi pentas mencungkil bakat qari dan hafiz dari seluruh Sabah, selain memberi pengalaman berharga kepada peserta untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Awang Juri Ag. Tahir berkata MTHQNS bukan sekadar pertandingan, sebaliknya inisiatif mendekatkan masyarakat dengan al-Quran serta mengasah bakat generasi muda sejak peringkat awal.
“Kami harap orang ramai hadir memeriahkan program ini bersama keluarga, kerana ini peluang mendengar kalam Allah. Tahun ini, kategori remaja diperkenalkan untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak, sekali gus menanam minat mendalam terhadap al-Quran,” katanya dalam program Influencer@JAPEN Sabah di Masjid Negeri Sabah, di sini kelmarin.
Beliau turut menjelaskan penglibatan hakim antarabangsa dalam MTHQNS 2026 memberi peluang peserta Sabah menerima penjurian bertaraf global dan selaras piawaian antarabangsa.

Johan Qari MTHQNS 1446H/2025M Nashraf Ideen Nahar menerima cenderamata daripada Nuzuluddin Abdul Razak pada Majlis Tilawah dan Hafazan Negeri Sabah 1447H/2026.
“Penglibatan hakim antarabangsa membuka ruang pendedahan lebih luas kepada peserta Sabah. Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform penting mencungkil bakat qari dan hafiz yang berpotensi mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Program turut dimeriahkan dengan Konvensyen al-Quran, penampilan penceramah terkenal Datuk Maulana Cik Wan Hilmy Wan Mohamed, klinik bacaan al-Quran, program derma darah, pameran agensi kerajaan, serta penglibatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) halal.
Sementara itu, Johan Qari MTHQNS 1446H/2025M, Nashraf Ideen Nahar berkongsi pengalaman menghadapi pertandingan tilawah dan hafazan termasuk cabaran persiapan fizikal dan mental serta sokongan ibu bapa.
“Persediaan bukan sahaja dari segi bacaan dan teknik, tetapi juga mental dan emosi. Sokongan ibu bapa adalah tonggak utama bagi saya. Ilmu al-Quran bukan untuk dipertandingkan semata-mata tetapi untuk ditadabbur, dihafal dan dijadikan panduan hidup,” katanya.
Majlis penutup MTHQNS Peringkat Negeri Sabah 1447H/2026 dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
-RJ-





