Skip to main content
Berita TempatanSarawak

47 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Simanggang Terima Sijil Pelantikan

By 8 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 47 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Simanggang secara rasmi menerima sijil pelantikan mereka dalam majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, semalam.

Majlis di Pusat Khidmat Masyarakat Simanggang itu melibatkan empat Ketua Masyarakat yang disambung perkhidmatan, empat pelantikan baharu serta 39 pelantikan lanjutan.

Dalam ucapannya, Francis menegaskan KMKK memikul tanggungjawab besar sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.

Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Simanggang mengangkat sumpah dalam Lafaz Ikrar Integriti bagi menekankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Beliau mengingatkan pemimpin akar umbi supaya mematuhi garis panduan Pejabat Daerah, termasuk mengemas kini profil kampung dan mengadakan mesyuarat secara berkala.

“Kekuatan Ketua Kaum terletak pada sokongan penduduk. Tanpa kerjasama, sukar untuk melaksanakan tugas dengan berkesan,” tegas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menaikkan gaji dan elaun KMKK mulai Januari lepas sebagai pengiktirafan terhadap beban kerja mereka yang semakin mencabar.

KK Jemali Idi dari Kampung Muhibbah Zon Barat menerima sijil pelantikan daripada Datuk Francis Harden Hollis (tiga kanan), sekali gus meneruskan peranan sebagai penghubung antara komuniti dan kerajaan.

KK Jemali Idi dari Kampung Muhibbah Zon Barat, salah seorang penerima pelantikan lanjutan, menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan semula oleh kerajaan dan berjanji untuk terus memastikan kebajikan penduduk terjaga selalin setiap dasar kerajaan disampaikan dengan berkesan di peringkat akar umbi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda