
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)/Cassidy Lisut (BKVS)
SEMATAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri menyempurnakan Program Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ di Dewan Mahligai Gading, di sini, kelmarin, selain menziarahi dua pesakit terlantar di Sematan.
Program tersebut turut melibatkan penyerahan bakul makanan Tahun Baharu Cina 2026 kepada penduduk Parlimen Santubong.

Nancy menyampaikan bakul makanan Tahun Baharu Cina kepada salah seorang penerima pada Program Mindness Tour Kaunseling Kasih PSSS ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ di Dewan Mahligai Gading, Lundu, kelmarin.
Dalam ucapannya, Nancy berkata, program itu bukan sahaja menyediakan bantuan material, malah menekankan sokongan psikososial dan kesejahteraan mental melalui perkhidmatan kaunseling yang disediakan di bawah PSSS.
“Tagline ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ membawa maksud mendengar dengan empati dan menolong dengan ikhlas tanpa mengira latar belakang. Penduduk digalakkan menilai tahap tekanan dan mendapatkan sokongan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Seramai 100 penerima di DUN Tanjong Datu menerima bakul makanan, manakala penyerahan tambahan akan dilaksanakan kepada 20 penerima di Kampung Pasar Bako, Demak Laut dan 20 penerima di Bandar Baru Samariang, Pantai Damai.
Selepas program tersebut, Nancy menziarahi Jamilah Abdullah, 74, di Kampung Tanah Hitam serta Juana Hamdan, 55, yang menghidap masalah tiroid di Sematan. Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan bantuan tunai RM500 kepada setiap pesakit.

Nancy Shukri menziarahi Jamilah Abdullah, 74, di kediamannya di Kampung Tanah Hitam, Sematan serta menyampaikan bantuan tunai bagi meringankan beban yang ditanggung, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Nordina Haron turut menyerahkan RM500 kepada setiap penerima, manakala Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Mohd Ali Taib menyalurkan bantuan segera JKM berjumlah RM300.
Menurut Nancy, lawatan kebajikan itu bertujuan memastikan pesakit terlantar dan keluarga penjaga terus diberi sokongan supaya tidak berasa terpinggir.
Turut hadir Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Sarawak Jimbau Munggat, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail serta pemimpin masyarakat setempat.
-RJ-





