Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Kejohanan Kebangsaan Medan Perkasa Atlet Karate Labuan Menuju SUKMA 2026

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ Persatuan Karate Labuan

LABUAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Kejohanan Karate Kata U14, Kadet, Junior dan Senior Peringkat Kebangsaan Ke-1 2026 menjadi medan bagi para atlet karate Labuan menimba pengalaman dan mempertingkatkan persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Barisan atlet wanita karate Labuan turut menunjukkan prestasi yang membanggakan

Menurut Presiden Karate Labuan Aswadee Taba, kejohanan itu merupakan sebahagian daripada proses persediaan berperingkat atlet-atlet Labuan bagi menghadapi SUKMA 2026 di Selangor selain menjadi platform terbaik untuk menilai kekuatan teknikal, mental dan daya saing atlet di peringkat kebangsaan.

“Sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 30 Jan hingga 31 Feb itu, Labuan berjaya mengumpul satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi serta tahap konsistensi atlet dalam acara individu dan berpasukan merangkumi pelbagai peringkat umur.

“Kemuncak pencapaian Labuan hadir dalam kategori Senior Lelaki Berpasukan Kata apabila Emmanuel Dunang Jerangku, Muhammad Adil Mohd Badruddin dan Tawfeq Syazwi Tazrudin mempamerkan persembahan bertenaga serta berdisiplin untuk menewaskan pasukan Sabah, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Labuan,” katanya semasa ditemui media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan Senior Wanita Berpasukan Kata Labuan yang diwakili oleh Martina Anne Jipaun, Nor Zulaiqah Chessica Abdullah dan Putri Nurbuhairah Norazlan berjaya meraih pingat perak.

Pasukan karate Labuan kini dalam landasan terbaik dalam persiapan SUKMA 2026.

“Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi menyumbang pingat gangsa dalam kategori Senior Wanita Individu Kata manakala atlet-atlet lain termasuk Sarifin Tan Pui Thung, Nor Zulaiqah Chessica Abdullah, Muhammad Aiqal Asmadie, Erika Kathleen Jipaun, Putri Nurbuhairah Norazlan, Martina Anne Jipaun, Muhammad Adil Mohd Badruddin dan Emmanuel Dunang Jerangku turut mempamerkan semangat juang tinggi serta perkembangan positif walaupun tersingkir di pusingan awal dan pertengahan.

“Pencapaian ini turut dipacu oleh kepimpinan barisan kejurulatihan pasukan yang diketuai oleh Sensei Ho Chiang Seng selaku jurulatih pasukan, dengan sokongan Sam Hiang Fong sebagai pengurus pasukan, yang memainkan peranan penting dalam aspek perancangan latihan, pengurusan atlet dan pemantauan prestasi sepanjang kejohanan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda