
Laporan/foto: U. Prakash (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jom Mewarna 2026 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Semarak Api dan Medan Angsana berjaya memupuk kreativiti kanak-kanak dan mengeratkan hubungan komuniti setempat apabila menghimpunkan penyertaan pelbagai kaum dalam suasana ceria di Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) Masjid Negeri, di sini, semalam.

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna
Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak dan ibu bapa sekitar Bukit Gelugor, sekali gus mencerminkan sokongan komuniti terhadap aktiviti berteraskan kekeluargaan dan perpaduan, selain memberi ruang kepada peserta menzahirkan kreativiti serta mengasah kemahiran motor halus dan daya imaginasi melalui sesi mewarna yang dijalankan dalam suasana santai tetapi teratur.
Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama strategik Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gelugor, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Timur Laut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pulau Pinang.
Pengerusi KRT Jalan Semarak Api, R. Kathiravan, 43, berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak, malah berperanan penting sebagai medium mengeratkan hubungan kejiranan dan merapatkan jurang antara kaum dalam komuniti setempat.
“Program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga berjiwa harmoni dan cintakan kebersamaan dalam kepelbagaian,” katanya.
Kehadiran serta sokongan ibu bapa sepanjang program berlangsung juga turut menyerlahkan peranan institusi keluarga dalam menyokong perkembangan awal kanak-kanak.
-AA-





