
Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)
MIRI, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Diking Dian merupakan makanan tradisional masyarakat Kayan di Sarawak, iaitu durian salai yang dihasilkan untuk mengelakkan pembaziran ketika musim buah yang melimpah.
Menurut Hamilton Usang Luhat, 60, ketiadaan peti sejuk pada zaman dahulu memaksa penduduk di kawasan pedalaman menggunakan kaedah salai supaya makanan tahan lebih lama dan boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja.

Hamilton Usang sedang menyalai Diking Dian di dapurnya.
“Dahulu kala bila tiba musim durian, kadang-kadang kami terpaksa membuang sahaja durian yang berlebihan kerana tidak tahu bagaimana untuk memprosesnya menjadi juadah lain berasaskan durian.
“Tambahan pula waktu itu belum ada peti sejuk yang boleh digunakan untuk menyimpan makanan supaya tahan lama,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini baru-baru ini.
Menurut warga emas itu, proses pembuatan Diking Dian bermula dengan proses mengasingkan isi durian daripada bijinya.
Isi tersebut kemudian katanya dibungkus menggunakan daun sip (daun minyak) atau daun sang (daun palas).
“Bungkusan tersebut disusun di atas bara api sederhana sehingga berwarna perang dan isinya menjadi kental,” katanya.
Keunikan Diking Dian terletak pada rasa aslinya kerana tiada bahan campuran lain digunakan, manakala penggunaan daun sip menambah keharumannya.
Menurutnya, makanan tradisi yang unik ini wajar dipertahankan pembuatannya walaupun terdapat kaedah yang lebih moden untuk menyimpan raja buah itu agar tahan lebih lama seperti penyimpanan di dalam peti sejuk.

Ketiadaan peti sejuk pada zaman dahulu memaksa penduduk di kawasan pedalaman menggunakan kaedah salai supaya makanan tahan lebih lama dan boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja.
Bagaimanapun, Hamilton berpendapat kaedah tradisi membuat diking dian harus diteruskan agar sejarah pembikinannya tidak dilupakan generasi baharu dan dapat dinikmati oleh orang ramai.
“Saya berharap agar anak cucu ataupun generasi akan datang tidak melupakan salah satu cara yang unik membuat makanan seperti ini.
Sementara itu, pasangannya, Jessy Paya Ngo berkata jika dibuat dalam kuantiti yang banyak, Diking Dian boleh dikomersialkan, baik untuk pasaran tempatan bahkan peringkat antarabangsa.
Melihat kepada potensi Diking Dian, pasangan tersebut berharap agar jabatan berkaitan dapat membantu pengusaha juadah tersebut mempelbagaikan produk berasaskan durian bagi memaksimumkan hasil tanaman mereka dan menjana ekonomi setempat.
-FN





