Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Bengkel Pembuatan Kuih Tradisional Perkasa Warga Emas Labuan

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ KAL

LABUAN, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Program Pendayaan Komuniti @ UniMADANI menerusi Projek Pembuatan Kuih dan Makanan Tradisional Tempatan Komuniti Warga Emas Labuan Siri 2 membuka ruang pemerkasaan warga emas di wilayah tersebut.

Program kerjasama UMS dan JKM itu mampu memperkasakan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat setempat

Ketua Projek Dr. Suzillah Sidek berkata melalui bengkel tersebut peserta berpeluang mempelajari teknik pembuatan yang lebih sistematik dan berkualiti selain pendedahan kepada inovasi pembungkusan produk bagi meningkatkan nilai komersial hasil keluaran mereka.

“Program ini bertujuan memperkasakan projek pembuatan kuih dan makanan tradisional bumiputera Labuan serta mewujudkan peluang penjanaan pendapatan melalui jualan produk tempatan.

“Beberapa produk telah berjaya dihasilkan untuk tujuan komersial, antaranya kuih kelupis dan kelupis berinti disejuk beku yang berpotensi dipasarkan secara lebih meluas,” katanya semasa ditemui media, semalam.

Program anjuran Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) itu membuka ruang kepada peluang keusahawanan mikro bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Jelasnya, program melibatkan seramai 30 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan belia tempatan itu adalah kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan.

“Projek ini dilaksanakan dengan sokongan penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan dan dibiayai melalui geran UniMADANI bernilai RM31,000 di bawah seliaan Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh hubungan universiti dan komuniti serta memperkasakan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda